Salah satu daripada cabang kesenian yang amat menarik minat segolongan
besar masyarakat adalah seni tari. Sabah juga tidak ketinggalan dengan kepelbagaian tariannya yang merangkumi tarian ritual
dan moden. Seperti negeri-negeri yang lain, Sabah sememangnya kaya dengan tarian tradisional.
Antara tarian-tarian asli yang popular dan dikenali ramai adalah Sumazau,
Limbai, Sumayau, Magunatip, Adai-adai dan Daling-Daling.
Sumber :
- Dewan Budaya, Disember 1980, m/s 36-38
- Pesta Ka'amatan `89 Peringkat Negeri, 31hb Mei, 1989 di`Hongkod Koisaan',
Penampang
. Petaling Jaya . Web Printers Sdn. Bhd.. 1989.
- Asmad. Kesenian Tari. Melaka : Associated Educational Dist., 1990.
- Kusardy, P.M. Persembahan kebudayaan negeri Sabah : sempena lawatan Tuan
Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Sarawak, Tun Datuk Patinggi Abang Haji Mohammad Salahuddin dan Yang Amat Berbahagia Toh
Puan Datin Patinggi Dayang Hajjah Umi Kalthum ke sabah di Istana Kota Kinabalu, 24hb Disember, 1980. Kota Kinabalu cetakan
: Jabatan Cetak Kerajaan Sabah 1981.
- Majlis Santapan Malam Negeri Sempena Perayaan Hari Kebangsaan 1996
. Pencetak Kerajaan Sabah. 1996
TARIAN SUMAZAU
Tarian ini merupakan sejenis tarian tradisi rakyat Sabah yang amat terkenal di Sabah dan di seluruh
Malaysia. Ia merupakan tarian tradisi suku kaum Kadazandusun. Tarian ritualnya memenuhi pelbagai fungsi seperti tarian sumazau
yang ditarikan untuk mengucap kesyukuran yang berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi dan juga untuk menolak bala,
menyemah semangat, dan mengubati penyakit. Gerak dan irama tari Sumazau adalah perlahan-lahan dan lemah lembut. Pasangan penari
lelaki dan wanita menari berhadap hadapan dan mereka menggerak-gerakkan kaki dengan langkah kecil, sementara tumit kaki diangkat
dan diturunkan mengikut irama lagu. Ketika menari tangan dikepakkan keluar, gerakannya turun naik seperti burung terbang.
Biasanya Sumazau ditarikan semasa menyambut hari keramaian dan di majlis jamuan.
TARIAN LIMBAI
Tarian ini adalah sejenis tarian asli masyarakat suku Bajau. Tarian Limbai ditarikan ketika menyambut
ketibaan pengantin lelaki yang diarak ke rumah pengantin perempuan. Sebaik sahaja rombongan pengantin sampai, perarakan dihentikan
sementara, lalu tarian Limbai dipersembahkan di hadapan pengantin. Ia merupakan upacara khas sebagai isyarat menjemput pengantin
naik ke rumah untuk melakukan istiadat ijab qabul yakni pernikahan. Irama dan bahasa tarian mengiringi anggota-anggota rombongan
pengantin naik ke rumah. Penari-penari melambai-lambaikan selendang mereka sebagai lambang mengundang dan mengucapkan selamat
datang.
TARIAN SUMAYAU

Tarian ini merupakan tarian asli suku kaum Dusun daripada
daerah Tuaran dan juga dikenali sebagai Madsayau. Tarian Sumayau merupakan tarian khas bagi menyambut hari Mengaji atau dalam
bahasa Dusun disebut Mengahau. Oleh yang demikian ianya tidak ditarikan dalam majlis-majlis bersukaria seperti menyambut hari
keramaian dan sebagainya.
Persembahan tarian diketuai oleh seorang Monolian iaitu wanita yang telah
lanjut usianya dan dalam pengetahuannya mengenai upacara-upacara tertentu. Ia harus juga dari keturunan Monolian.
Mengahau adalah suatu majlis yang diadakan besar-besaran dan mengambil
masa hingga lima hari lima malam.Tujuannya adalah untuk mengaji gusi-gusi, (gusi-gusi ialah sejenis tampian besar) untuk menghormati
atau memuja gusi-gusi itu, Di samping itu upacara sedemikian juga adalah untuk memperingati keluarga yang telah meninggal
dunia iaitu seperti kenduri arwah yang lazim dilakukan oleh masyarakat Melayu Islam.
Sebaik sahaja muzik dimainkan penari-penari mulalah menari dan terus
menuju ke ruang atau gelanggang tari. Gerakkan tangan penari-penari adalah mengikut irama lagu. Gerak kaki adalah perlahan
jika dibandingkan dengan gerak tangan. Ia cuma bergerak berinsut-insut yang amat perlahan. Gerak tarian akan bertambah rancak
sedikit apabila mendapat tepukan atau rangsangan daripada para penonton.
TARIAN MAGUNATIP
Ini merupakan sejenis tarian tradisi masyarakat suku kaum Murut dari suku Kuhijau (Kwijau). Magunatip
berasal dari perkataan ‘apit' di yang bermakna jepit. Ia membawa maksud ketika menari kaki penari terjepit atau terapit
di antara dua batang kayu (buluh) jikalau tidak cekap mengelakkannya. Biasanya tarian ini tidak memerlukan iringan muzik oleh
kerana bunyi buluh itu yang dilagakan akan menimbulkan bunyi yang kuat serta rentak dan irama yang menarik.Tarian Magunatip
bertujuan untuk memeriahkan sesuatu upacara yand diadakan.
TARIAN ADAI-ADAI
Adai-adai pada mulanya merupakan nyanyian yang digunakan sebagai suara
beramai pada sebuah pantun yang dinyanyikan. Tarian ini tidak menggunakan sebarang alat muzik ketika menyanyikannya. Bunyi
yang mengiringi nyanyian adalah hentakan pengayuh di bahagian pinara sampan atau perahu yang didayung serta pukulan buyung
atau keduit. Tarian ini dipersembahkan di majlis-majlis keramaian. Ia merupakan tarian masyarakat suku Berunai yang mendiami
pekan Weston, Sabah.
TARIAN DALING-DALING
Tarian ini bukannya tarian asal suku kaum Bajau di Daerah Semporna, sebaliknya ia dibawa oleh orang-orang
Suluk dari Kepulauan Mindanau. Pertumbuhan masyarakat Bajau dan Suluk yang sering mempengaruhi, maka hadirlah tarian ini sebagai
milik masyarakat Bajau yang menetap di Semporna. Perkataan Daling-daling berasal daripada perkataan Inggeris darling
yang bererti kekasih. Tarian ini adalah tarian hiburan di majlis-majlis tertentu yang sifatnya berbalas pantun di antara penari
lelaki dan perempuan.
- Best Viewed with IE in 800 X 600 resolution -